Saturday, January 15, 2005

Kepercayaan

Kepercayaan adalah satu pengiktirafan yang diberikan oleh orang lain kepada kita ataupun sesuatu. Melalui kepercayaan ini, kita mengiktiraf kebolehan, keupayaan, dan kemampuan seseorang dalam menjalankan sesuatu tugas. Kepercayaan adalah satu tali perikatan yang amat istimewa. Melalui kepercayaan, berbagai sasaran boleh dicapai, berbagai tugas boleh dilaksanakan. Seorang askar meletakkan kepercayaan kepada ketuanya dalam membuat keputusan walaupun keputusan tersebut dapat menentukan hidup mati perjuangan.

Semenjak dua dekad yang lepas, pasukan bola sepak kebangsaan negara kita telah tidak mendapat kepercayaan dari jutaan peminat sukan bola sepak tempatan. Kejayaan pingat emas di Kuala Lumpur pada sukan sea 1989 adalah kali terakhir Jalur Gemilang berkibar megah di puncak kegemilangan bola sepak serantau. Semenjak daripada itu peminat semakin hilang kepercayaan kepada pasukan bola sepak untuk melakar lukisan kejayaan yang gemilang.

Ken Worden, Wan Jamak Hassan, Abdul Rahman Ibrahim, Allan Harris semua mereka telah cuba untuk mengembalikan ngauman ganas Harimau Malaya, tetapi gagal. Terbaru, awang import dari Hungary, Bertalan Biskcei. Adakah dia berjaya mengembalikan ngauman itu ataupun ia akan hanya berakhir dengan kiauan kucing yang lembut.

Perlawan pada 14 Disember lalu menentang Thailand telah sedikit sebanyak mengembalikan kepercayaan penyokong.20,000 peminat yang masih 'sayangkan' bola sepak tempatan turun bagi memberi sokongan.Kepercayaan ini dibalas dengan dua gol 'kilat' jaringan saudara Khalid. Satu Malaysia meraikannya.Kemuncak kepercayaan ini adalah apabila 80,000 bersatu hati, bersatu suara memberikan sokongan kepada pasukan negara yang pulang dari Jakarta membawa kelebihan 1 gol. Jaringan dari hero baru pasukan Selangor, saudara Khalid menebalkan kepercayaan puluhan ribu peminat di Bukit Jalil, jutaan peminat yang menonton di rumah. Kepercayaan telah kembali. Jutaan peminat ini telah percaya dengan pasukan kebangsaan. Percaya yang akhirnya kita akan berjaya. Kita akan melaungkan Negaraku, mengibarkan Jalur Gemilang di pentas utama, pentas juara. Kepercayaan telah kembali.

Malangnya, 11 wira bangsa kita membenarkan Ilham Jaya Kesuma, Kurniawan Dwi Yulianto, Boas Salosa dan jentera serangan didikan Peter Withe merobek, mencabut kepercayaan ini. 4 gol dalam masa 30 minit sudah cukup untuk merampas kembali kepercayaan yang memerlukan 15 tahun untuk kembali. Peminat, penyokong, pemuja dikhianati! Kami semua dikhianati! 25 juta rakyat Malaysia dikhianati oleh Rosdi Talib dan rakan - rakan. Seluruh kepercayaan yang diberi pantas meninggalkan pasukan kebangsaan.Pohonlah maaf kepada setiap satu 25 juta rakyat Malaysia sekalipun nescaya tidak akan kembali kepercayaa itu. Sesungguhnya kepercayaan rakyat Malaysia amatlah mahal. Ia datang dari rasa kepingin, rasa sayang yang teramat sangat kepada bola sepak tempatan. Rasa sayang itu telah dipermain - mainkan. Tidak mudah kami akan memaafkan anda.

Sabtu ini perlawanan terakhir sebelum menutup tirai perjuangan pasukan kebangsaan. Myanmar yang menewaskan Malaysia pada peringkat kumpulan akan menjadi ujian terakhir.
"LIHAT KAMI DI KOTA SINGA!" Itulah permintaan Rosdi Talib sebelum meninggalkan tanah tumpah darah ku ini. Maruah bola sepak akan teruji Sabtu ini. Jangan persoalkan kepercayaan kami, jangan sesekali persoalkan sayang kami. Sedarlah wahai Rosdi Talib, mereka tidak akan kembali jika anda semua tidak berjaya. Saya tahu saya akan sentiasa berada di belakang anda semua kerana saya tidak mempunyai pasukan lain untuk disokong. Saya rasa adalah menjadi tangungjawab saya untuk terus menyokong walau apa bala datang menguji. Tapi ingat, tidak semua yang sesabar saya. Tidak semua yang faham. Tidak semua yang tahan dengan ujian ini. Ujian kepercayaan. Saya tahu tahap, kemampuan bola sepak kita. Tapi aksi menentang Thailand membuat saya percaya, anda semua mempunyai kemampuan jaguh tapi bukan mentaliti jaguh. Tenungkanlah pesanan saya ini.

Selamat bejuang wira bangsa ku. Mungkin yang lain tidak akan 'melihat' tapi saya janjikan kibaran Jalur Gemilang di rumah menyertai sokongan saya.

-Malaysia BOLEH!

3 Comments:

Blogger Adi Wahyu Personal Journey said...

Selamat... your Yellow jersey could win over Myanmar 2-1.

Khawatir Boas, Charis, and Lessy tak boleh tampil di final :( Lagipula tertinggal 2 gol.

11:25 PM  
Blogger Adi Wahyu Personal Journey said...

This comment has been removed by a blog administrator.

11:25 PM  
Blogger zulhardy said...

Jgn risau Wahyu, one thing i know indonesia is good at is attacking and scoring goals :)

5:15 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home